09 Februari 2009

Multimedia dalam pendidikan, hiburan dan pertahanan.

Istilah ‘multimedia’ sering kali digunakan dalam banyak perkara, seperti Sistem Maklumat Multimedia, komputer multimedia, perisian multimedia dan lain-lain lagi. Multimedia, jika dilihat daripada segi bahasa membawa maksud ‘banyak media’ atau ‘pelbagai media’ – biasanya terdiri daripada teks, grafik, audio, video, dan animasi. Sebagai contoh, sebuah laman web statik boleh dikira sebagai sebuah multimedia kerana menggunakan teks dan grafik. Kemunculan dan perkembangan pesat Teknologi Multimedia telah membawa kesan dan perubahan dalam banyak bidang seperti pendidikan, pertahanan, hiburan, perubatan, ekonomi dan banyak lagi. Inovasi Teknologi Multimedia yang canggih menggunakan peralatan komputer menjadikan adunan audio, video, teks, grafik dan animasi yang baik mampu menghasilkan warna serta rekabentuk yang menarik serta persekitaran yang lebih berkesan. Peranan teknologi multimedia menjadikan sesuatu persembahan atau penyampaian lebih menarik, efektif, aktif dan menyeronokkan kerana ia melibatkan hampir semua sensori manusia. Di sini, saya ingin menceritakan serba sedikit berkenaan penggunaan multimedia dalam bidang pendidikan, pertahanan dan hiburan.


Dalam bidang pendidikan di Malaysia , multimedia mula diperkenalkan melalui Projek Pengajaran Pebelajaran Berbantukan Komputer atau COMIL (Computer Integrated Learning System) pada tahun 1992. Perisian dalam Bahasa Inggeris dan Matematik digunakan bertujuan untuk mengatasi kelemahan pelajar. Bermula pada tahun 1997, para pelajar tingkatan satu di sekolah-sekolah di Malaysia akan diperkenalkan dengan matapelajaran Literasi Komputer. Oleh itu, kerajaan telah menjalankan projek bagi membina makmal komputer yang dilengkapi 21 buah komputer multimedia di setiap sekolah di seluruh negara. Dalam perkembangan yang berkaitan, Universiti Malaya telah memperkenalkan Pengajian Jarak Jauh dengan menggunakan sidang video. Sistem Aplikasi Teleperubatan Universiti Malaya akan dihubungkan terus dengan Bandaraya Bistari Putra Jaya. Usaha ini dikuatkan lagi dengan perlaksanaan projek Multimedia Super Corridor (MSC) oleh kerajaan Malaysia. Salah satu flagship yang terdapat di dalam MSC adalah projek Smart School. Smart School menggunakan kaedah pembelajaran terkini yang dijalinkan dengan elemen-elemen ICT seperti Internet, CD-ROM, dan Multimedia. Dengan elemen-elemen baru ini diharapkan supaya pembelajaran di sekolah akan menjadi lebih menarik dan lebih berkesan.



*Contoh penggunaan multimedia di "Keck School of Medicine of USC".


Seterusnya adalah penggunaan multimedia dalam bidang hiburan. Multimedia sering kali kita lihat di siaran televisyen, permainan video, konsert-konsert hiburan dan banyak lagi. Penggunaan elemen-elemen multimedia dalam bidang hiburan menjadikannya lebih menarik dan interaktif. Contohnya seperti permainan video yang menjadi kegemaran anak muda masa kini. Penggunaan grafik 3-dimensi di dalam permainan video pada masa kini menjadikannya lebih nyata berbanding suatu ketika dahulu yang hanya menggunakan grafik 2-dimensi.



*Contoh permainan video multimedia pada masa kini.



Di dalam konsert-konsert hiburan atau persembahan pentas pula, penggunaan multimedia di gunakan sebagai pelengkap kepada sesuatu persembahan. Penggunaan skrin video yang besar serta sistem audio yang canggih menjadikan situasi lebih menarik, efektif, aktif dan menyeronokkan.



Animasi 3-dimensi juga adalah sebahagian daripada teknologi multimedia yang sedang meningkat naik pada masa kini. Filem-filem animasi kian mendapat sambutan ramai yang menjadi kegemaran anak-anak muda dan semua lapisan umur. Di Malaysia, animasi 3D masih lagi perlahan, masih baru dan sedang dalam proses meningkat naik. Sejak dua tahun kebelakangan ini, masyarakat Malaysia diperkenalkan dengan satu siri animasi pendek yang bertajuk "Upin & Ipin" keluaran Syarikat animasi Les' Copaque Production yang diusahakan oleh anak muda tempatan.




*Filem animasi pertama Malaysia yang bakal ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan.


Di dalam suatu perbincangan forum di internet, Malaysia dikatakan memiliki sistem ketenteraan termaju. Malaysia mencatatkan sejarah dalam bidang ketenteraan apabila menghasilkan Sistem Komunikasi Mudah Alih Termaju (AMMCS) pertama di dunia yang membolehkan pusat pertahanan angkatan tentera berhubung dengan pusat komunikasi bergerak dan askar di medan pertempuran, yang mana komunikasi dalam bentuk multimedia itu dilakukan secara masa nyata (real time). Teknologi AMMCS yang mudah dipasang dan diatur gerak di medan pertempuran itu dapat membantu komander dan pemerintah angkatan tentera mendapat maklumat terkini keadaan medan dan melakukan analisis pantas kerana data yang disalurkan menerusi satelit adalah tepat dan jitu.



Di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, jenayah-jenayah yang melibatkan penggunaan Internet, multimedia, telekomunikasi, dan komponen ICT lain lebih banyak dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK). Hal ini bertujuan bagi mengawal penggunaan teknologi multimedia melalui ICT dan Internet yang dijadikan sebagai medium pilihan untuk mencetuskan kekecohan di sesebuah negara kerana ia paling mudah untuk menyebarkan maklumat berunsur hasutan, provokasi atau fitnah.


Teknologi multimedia sememangnya penting dalam menambah baik dan meningkatkan taraf hidup manusia. Segala keperluan manusia dapat dilaksanakan dengan mudah, cepat dan cekap. Namun begitu, sesuatu teknologi itu akan bermanfaat jika digunakan pada jalan kebaikan dan amatlah rugi jika ianya disalah gunakan bagi tujuan yang jahat.

0 ulasan: